Friday, June 27, 2008

100 Hari Pentadbiran PAKATAN RAKYAT Sekadar Janji Kosong

SELEPAS 100 hari memerintah di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, lebih banyak mengambil tindakan 'popular' yang sesetengahnya amat mengelirukan tetapi mereka setakat ini masih gagal tampil dengan pelan pembangunan bersepadu untuk faedah jangka panjang rakyat.

Memang benar, 100 hari apa yang boleh dilakukan tetapi dalam tempoh itu jugalah, mereka boleh tampil dengan pelan pembangunan kondusif.

Malangnya, banyak daripada program yang diuar-uarkan tampak menarik perhatian rakyat tetapi jika diperhalusi, ia sebenarnya kurang memberi kesan kepada rakyat.

Zaman bagaikan memberi 'gula-gula' kepada budak sudah berlalu. Rakyat yang memberi amanah sudah tentu mengharapkan sesuatu lebih berfaedah.

Di Pulau Pinang, misalnya, pelaksanaan sistem tender terbuka bagi projek kerajaan dan dasar pentadbiran tanah yang membolehkan tanah kediaman berstatus pajakan dimohon untuk mendapat hak milik pegangan kekal.

Kedua-dua dasar itu sememangnya bagus dan mendapat sokongan ramai, tetapi sejauh mana ia boleh membantu rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan, adalah satu perkara yang diragui.

Sistem tender terbuka akan menyebabkan kontraktor yang kurang berkemampuan terus ketinggalan kerana tidak mampu bersaing, manakala pemilik tanah berstatus pajakan pula dibebani tanggungan yang berat jika mahu mendapatkan hak milik kekal kerana perlu menjelaskan premium.

Terbaru, kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP membuat pengumuman untuk memberi bantuan sebanyak RM100 kepada kira-kira 100,000 keluarga miskin di negeri itu bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang.

Tetapi sehingga kini, belum ada kata putus mengenai mekanisme pemberian bantuan itu walaupun pengumuman sudah dibuat. Kenapa dibuat pengumuman jika kata putus belum dicapai?

Kemudian, muncul tindakan menghapuskan bayaran saman pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti dilakukan di Pulau Pinang dan Perak, tidak lebih daripada langkah populist tetapi kurang berkesan dan janggal.

Saman tetap saman dan sesiapa yang melanggar peraturan atau undang-undang perlu dikenakan tindakan.

Di Kedah, kerajaan negeri memberi elaun kepada guru agama dan al-Quran dan pengurangan semula cukai tanah yang sudah diluluskan kenaikan pada 2006.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat apa yang dilaksanakan itu bukan langkah yang memberi kesan baik untuk jangka panjang kepada kerajaan kerana pengurangan cukai tanah akan menyebabkan hasil negeri menyusut sebanyak RM50 juta.

Terbaru, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak bermain api apabila bercadang membenarkan kerja pembalakan di kawasan tadahan air di Ulu Muda yang selama ini dijaga dengan baik untuk tujuan pembekalan air minuman dan mengairi sawah padi.

Beliau bertindak demikian sebagai ugutan jika Kerajaan Pusat tidak mahu membayar RM100 juta setahun sebagai pampasan mengekalkan kawasan tadahan air itu yang luasnya dua kali lebih besar daripada Singapura.

Di Selangor pula, timbul kontroversi berkisar kepada pemberian air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada penduduk negeri itu.

Lebih buruk lagi apabila tempoh 100 hari itu bagaikan dihabiskan untuk 'mengorek' apa saja kelemahan kepemimpinan kerajaan negeri yang lalu hingga rakyat bosan.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas kelihatan lebih banyak cuba mencari kesalahan kerajaan terdahulu. Itu bukan diharapkan rakyat kerana rakyat mahukan nasib mereka terbela.

Mereka terus berlagak seperti pembangkang dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada peringkat persekutuan. Sudah tentu, sasaran utama mereka ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mereka gagal atau tidak mahu mengakui apakah pembaharuan dilakukan kerajaan BN Persekutuan pimpinan Perdana Menteri terutama selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu. Kita akui hakikat bahawa rakyat memberi mesej tertentu dan ini sedang ditangani kerajaan BN.

Bagaimanapun, bukan sesuatu yang mudah untuk memerintah dan mungkin lebih mudah melemparkan tuduhan terutama ketika sesebuah parti itu berada di pihak pembangkang. Hakikat ini diakui Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Tidak ada perkara yang mudah untuk dilakukan semudah kita memikirkannya," kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng apabila mengulas mengenai 100 hari pentadbirannya menerajui Pulau Pinang.

Memperhalusi kata-kata itu, adakah ia membawa maksud kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak berkeyakinan untuk mentadbir negeri dan menunaikan janji yang ditabur ketika kempen pilihan raya umum lalu?

Bermula dengan kenyataan Guan Eng sebaik mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hingga sekarang, ia mampu membuat rakyat tersenyum kerana mendapat gambaran kerajaan baru lebih memahami keperluan rakyat, khususnya dengan slogan Cekap, Bertanggungjawab dan Telus (CAT).

Tetapi, menilai daripada program yang dilaksanakan sejak mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri, ia dilihat lebih kepada usaha untuk menjadi popular bagi meraih sokongan rakyat.

Keputusan kerajaan negeri membatalkan saman tempat letak kereta dan gerai penjaja yang dikeluarkan oleh ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, memberi sekampit beras kepada kira-kira 7,000 keluarga miskin dan pemberian cermin mata kepada murid miskin, seharusnya dipuji.

Seramai 1,465 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) termasuk 11 penyelia di seluruh negeri juga layak menerima bonus tambahan sebanyak RM600, mulai April lalu.

Tetapi, soalnya benarkah kerajaan negeri mahu membantu rakyat atau sekadar mendapatkan populariti. Lihat saja pengagihan beras sebanyak 10 kilogram yang bernilai kurang daripada RM30 tetapi penerimanya terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengambilnya di pusat pengagihan.

Jika kerajaan betul-betul ikhlas bagi membantu rakyat miskin, beras itu sepatutnya dihantar ke rumah, bukannya berpusu-pusu ke bandar dan pekan semata-mata untuk mendapatkan sekampit beras.

Malah, Menteri Besar Kedah sendiri mengakui tempoh 100 hari pertama yang dilaluinya sebagai tonggak kepemimpinan negeri bukanlah mudah sebagai mana yang disangka.

"Bukan mudah menjadi Menteri Besar. Tidur pun dengan masalah, dan bangun disambut dengan masalah," kata beliau ketika melancarkan program e-Sinar di Alor Star, baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid, berkata walaupun sudah lebih tiga bulan kerajaan Pas memerintah, belum ada pencapaian membanggakan yang dicapainya.

"Mereka cuba mengambil pendekatan untuk popular, tetapi tidak memikirkan masa depan jangka panjang negeri.

"Misalnya, mereka berdolak dalik mengenai lokasi projek Zon Industri Petroleum Yan (Zipy) yang pada mulanya dirancang diadakan di kawasan sawah di Yan, tetapi kemudian memindahkannya ke Gurun dan kemudian diputuskan dilaksanakan di tanah laut yang ditambak.

"Dasar mereka yang tidak konsisten hanya menyebabkan pelabur keliru dan hasilnya mereka takut menanam modal dan kesannya taraf ekonomi penduduk sukar berkembang apabila tiada peluang pekerjaan," katanya.

Pembangkang harus berfikir bahawa tempoh berbulan madu sudah berlalu.

Sekarang sudah tiba masanya untuk mereka lebih serius memerintah, fikirkan pembangunan jangka panjang untuk rakyat dan hentikan tindakan popular yang sesetengahnya tidak memberi impak besar kepada rakyat meskipun nampak 'menarik'.

Oleh Wan Jailani Razak, Fazli Abdullah, Ridzuan Yop, Azmi Md Deros dan Shamsul Kamal Amarudin