Thursday, June 26, 2008

Henti Provokasi Agama Elak Negara Kucar-Kacir



SEBAGAI negara yang penghuninya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, ada isu sensitif yang mesti dipelihara dan tidak boleh diusik secara membabi buta kerana padahnya yang amat besar.

Sememangnya setiap agama itu sendiri menganjurkan amalan berbaik-baik tanpa mengenal batas kaum dan darjat, justeru sepatutnya tidak ada sebab mengapa isu sensitiviti kaum dan agama mesti berbangkit.

Namun kealpaan manusia tentang nilai-nilai murni yang diajar oleh kepercayaan masing-masing menyebabkan ada kalangan rakyat di negara pelbagai kaum ini bertindak mengikut hati.

Sebab itu masih kedengaran serta kelihatan tindakan-tindakan yang secara jelas menguji serta mencabar agama Islam sedangkan Islam itu adalah agama rasmi di negara ini.

Ada ketikanya kemuliaan Islam langsung tidak dihormati sehingga menimbulkan provokasi serta kemarahan di kalangan rakyat yang beragama Islam.

Kita tentu tidak pernah lupa apabila sekumpulan elit membangkitkan perihal azan di kawasan perumahan yang dianggap mengganggu ketenangan. Begitu juga dengan insiden mutakhir ini yang tidak perlu diulang episodnya.

Semestinya umat Islam akan berasa dihina apabila kenyataan seumpama itu dilontarkan dan bangkit untuk mempertahankan agama daripada terus diuji serta dicabar ke tahap itu.

Keadaan seperti itu jika gagal dikawal akan mencetuskan suasana huru-hara serta perang saudara seperti yang dibangkitkan oleh Sultan Perak, Sultan Azlah Shah.

Sepanjang lebih 50 tahun umat Melayu beragama Islam berkongsi tanah air dengan bangsa-bangsa lain, sikap bertolak ansur serta tidak mementingkan diri sendiri menjadikan Malaysia kekal harmoni.

Dalam tempoh tersebut juga umat Islam sentiasa berusaha menghormati kaum-kaum lain malah ada ketikanya beralah demi memberi laluan kepada kesejahteraan negara.

Namun sikap toleransi serta bertolak ansur itu tidak akan kekal lama jika satu demi satu isu berkaitan agama Islam diuji dan dicabar.

Tidak mustahil pada satu peringkat ketika mana umat Islam tidak mampu bertahan, akan tercetus kemarahan yang sukar dibendung.

Umat Islam juga mesti mempunyai benteng keimanan yang kuat supaya tindakan provokasi seumpama itu ditangani secara bijak dan tidak menimbulkan suasana yang tidak tenteram

Namun kekuatan benteng itu tidak akan bermakna jika kaum-kaum lain terus menerus mempersoalkan pelbagai isu berkaitan Islam.

Lebih parah lagi apabila pihak berkuasa sendiri tidak mempunyai pilihan yang banyak untuk mempertahankan Islam itu sendiri demi menjaga hati kaum-kaum lain.

Pada ketika rakyat pelbagai kaum menikmati kebebasan beragama dan menyempurnakan amalan agama masing-masing, mereka mesti sentiasa diberi peringatan bahawa mempertikaikan isu-isu berkaitan Islam tidak membawa satu kebaikan pun.

Sebaliknya, kegagalan menghormati agama lain hanya akan mengganggu-gugat ketenteraman awam - melainkan itulah yang mereka hajatkan.

PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA…….

No comments: