Friday, June 27, 2008

Kecelaruan Pemikiran Pembangkang Perlu Diperbetulkan

Ulasan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa penganalisis di Utusan Malaysia 25 Jun, bahawa cadangan pembangkang supaya kerajaan membuka tender cari gali minyak di negara ini kepada syarikat asing sebagai langkah ke belakang yang tidak menghargai kepakaran anak bangsa dan kebolehan syarikat nasional negara ini.

Walau pun royalti yang diterima mungkin lebih besar tetapi apa maknanya jika kepakaran tempatan dipinggirkan.

Apakah pembangkang mahu syarikat-syarikat asing meraih keuntungan besar dari negara ini dan membawa pulang untuk memajukan negara mereka.

Sudah beratus-ratus tahun negara kita dijajah. Sepanjang penjajahan itu pelbagai hasil bumi negara kita telah dibawa pulang. Bermula dengan rempah dan lada hitam, kemudian bijih timah.

Malah bukan hasil bumi sahaja dibawa pulang, ratusan manuskrip Melayu yang tersohor menggambarkan tamadun bangsa Melayu telah mereka himpunkan di perpustakaan besar mereka.

Yang mereka tinggalkan hanya sisa-sisa sejarah yang terpaksa kita kumpulkan bagi mengukuhkan bukti bahawa kita adalah bangsa yang bertamadun dan memiliki sejarah yang besar.

Ini berlaku mungkin ketika itu sebahagian besar datuk dan nenek kita kurang peka terhadap khazanah bangsa atau kurang mengerti nilai-nilai ekonomi sesuatu hasil bumi.

Tetapi di zaman generasi yang bijak pandai dan berilmu ini, masih ada pemikiran-pemikiran jumud pembangkang yang tidak memperakui kepakaran anak bangsa. Hasil bumi yang tidak seberapa lagi ini hendak diberi kepada syarikat asing menguruskannya.

Mujurlah pembangkang tidak memerintah negara ini.

Minyak adalah sumber strategik dan siapa yang menguasai minyak, dia menguasai dunia. Itulah yang sering diperkatakan oleh tokoh politik dan ekonomi antara bangsa.

Kenyataan ini perlu dimengerti. Janganlah kita begitu mudah mengundang orang asing hanya kerana royalti yang diterima lebih tinggi berbanding syarikat nasional kita. Kita kena ingat ketika kerajaan mengajak pelabur-pelabur asing melabur di Iskandar Malaysia, parti-parti pembangkang mempersoalkannya kerana dibimbangi negara asing akan menguasai wilayah-wilayah pembangunan tersebut.

Tetapi kini pembangkang mengusulkan kerajaan membuka kerja cari minyak kepada syarikat asing. Kecelaruan pemikiran pembangkang perlu diperbetulkan. Cadangan-cadangan 'kartun' ini memang tidak masuk akal.

Bertahun-tahun kita telah melatih kepakaran anak-anak bangsa. Kita membina universiti dan melahirkan jurusan yang berkaitan cari gali minyak. Ribuan anak-anak muda mendapat kepakaran dan kelayakan bekerja sebagai jurutera dan bidang-bidang yang berkaitan. Mereka bekerja di dalam dan di luar negara. Seluruh pelosok dunia mereka rentasi. Kepakaran mereka dikagumi. Tiba-tiba pembangkang mengusulkan supaya membuka persaingan cari gali minyak di negara sendiri dengan syarikat asing. Pemikiran apakah ini?

Di dalam Dewan Rakyat yang mulia, berilah cadangan yang munasabah agar kejayaan yang sudah dibina jangan sekali-kali diruntuhkan.

Kenangkanlah anak-anak bangsa yang berkorban nyawa, pemikiran dan keringat memajukan syarikat nasional negara. Mereka telah mengangkat nama negara di persada dunia. Janganlah kita kembali ke zaman penjajah di mana kita tiada keyakinan diri dan mengharap orang asing untuk terus hidup.

DR. GUNAWAN MAHMOOD

Kuala Lumpur

No comments: